TAWAU, 25 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau telah menahan dan mengusir keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menceroboh masuk ke perairan negara di kawasan laut Sungai Melayu, Pulau Sebatik.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintenden Polis (DSP) Ridzauddin Selamat berkata, anggotanya yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) telah mengusir kesemua mereka dalam 2 siri pengusiran di lokasi yang sama.
Beliau berkata, kes pertama melibatkan penahanan sebuah bot yang dijuragani oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang membawa 3 penumpang warganegara Indonesia berumur antara 35 tahun hingga 42 tahun.
“Juragan bot dan kesemua penumpang telah diberi penerangan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,
“Bot yang membawa 3 orang penumpang tersebut telah diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial milik PPM Wilayah 4 Sabah pada Jumaat.
Manakala, pada 21 Disember lalu, Unit Risikan Marin (URM) MO PPM Tawau yang menjalankan tugas Risikan Op Benteng dan Op Gelora Khas juga telah berjaya menahan dan mengusir 13 warganegara Indonesia yang terdiri daripada 5 lelaki dan 8 perempuan yang cuba memasuki perairan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Ridzauddin menjelaskan, pihaknya akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Tawau bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik COVID-19.
Tambahnya, PPM Sabah tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara. -airtimes.my