KUALA LUMPUR, 24 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen (MK RAJD 3 Div) telah diaturgerak untuk membina jambatan sementara di Jelebu, Negeri Sembilan.
Menurut pihak TDM, Panglima 3 Div, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim telah hadir meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan sementara di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu.
“Kerosakan jambatan di kampung tersebut telah menyebabkan penduduk setempat telah terputus hubungan dan turut menyukarkan misi bantuan disalurkan kepada 28 buah rumah yang terjejas banjir,
“MK RAJD 3 Div akan di aturgerak untuk membina jambatan sementara dengan menggunakan ‘Compact Bailey Single Lane’ (CB200),
“Kerja-kerja pembinaan jambatan akan mula dilaksanakan setelah proses menambak tebing sungai selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan,” katanya.
Jambatan di Kampung Bemban musnah akibat hujan lebat pada 17 Disember lalu dan menyebabkan 28 isi rumah terputus hubungan. – airtimes.my