Home Semasa Lebih 20 dron hantar bekalan ubat-ubatan dan makanan di Selangor

Lebih 20 dron hantar bekalan ubat-ubatan dan makanan di Selangor

by M.Daim

SHAH ALAM, 24 Dis – Lebih 20 buah dron digunakan dalam operasi menghantar bekalan kritikal kepada mangsa banjir di Selangor.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, dron pemantauan dan penghantaran digunakan dalam usaha yang diterajui oleh pihak kementerian menerusi Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron).

“Dron pemantauan dan penghantaran khas ini telah digerakkan ke beberapa kawasan terjejas
banjir di Selangor,

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung Lanchang Jaya, Taman Alam Indah, serta Kampung Jalan Kebun,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, dron yang terlibat dalam usaha tersebut telah membawa muatan seberat 10 kilogram (kg) bekalan kritikal kepada mangsa banjir. Antara bekalan yang dimaksudkan adalah makanan, ubat-ubatan dan powerbank.

“Dron yang digunakan telah melakukan beberapa perjalanan ulang-alik dalam penghantaran barangan kritikal dengan muatan sehingga 10kg,

“Kamera visi malam dan pengesanan haba (night vision and thermal sensors) turut dipasang pada dron yang melaksanakan tugas tersebut,” jelasnya.

Menurut MOSTI, usaha ini telah mendapat kerjasama dengan syarikat teknologi dron tempatan iaitu VStream Revolutions, Meraque Services, Alphaswift Industries, Aerodyne Group dan GeoPrecision.

Tambahnya, usaha ini dilakukan berdasarkan keperluan semasa di negeri Selangor. Selain daripada itu, PTK2Dron turut bersedia untuk melancarkan usaha yang sama di negeri-negeri lain sekiranya diperlukan.

“Usaha pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal ini dilaksanakan di Selangor buat masa ini tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa.

“PTK2Dron juga bersedia untuk menghulurkan bantuan di lain-lan negeri yang terjejas akibat banjir mengikut kesesuaian, permintaan dan keperluan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Inisiatif PTK2Dron diperkukuhkan menerusi penyelarasan inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang dilancarkan oleh MOSTI pada tahun lalu.

Usaha ini bertujuan untuk menyokong syarikat-syarikat dron mendapatkan sokongan teknikal, pengawal seliaan dan sokongan tapak pengujian. Syarikat-syarikat yang terlibat turut disediakan  dengan kes penggunaan khas termasuk pengurusan bencana dan penghantaran bekalan kecemasan. – airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!