SEPANG, 24 Dis 21 – Bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja membabitkan operasi pemindahan mangsa malah turut membantu kerja-kerja pembersihan di beberapa lokasi banjir yang terjejas.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan,
anggotanya dari Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, juga telah diaturgerak bagi memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir pada Khamis.
“Seramai 2 orang pegawai dan 14 anggota telah membantu kerja-kerja pembersihan ke atas rumah Pegawai Waran Dua Udara, Mohd Uzair Bistaman yang terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini,
“Kerja-kerja pembersihan turut melibatkan penuntut Kursus Jurulatih Jasmani Peningkatan Kelas II Siri 5/21 sebagai salah satu di antara Program Jiwa Murni (PJM),” jelas TUDM.
Tambahnya, kerja-kerja pembersihan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh anggota yang terlibat dengan kejadian banjir serta usaha-usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. -airtimes.my