SHAH ALAM, 23 Dis – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri Selangor telah meminta bantuan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada malam kejadian banjir.
“Saya sendiri berada di Kampung Bukit Lanchong pada malam kejadian banjir di mana air telah naik secara mendadak,
“Pada ketika itu, kita telah menerima permohonan bantuan dari NADMA dan kerajaan negeri untuk menangani keadaan,” katanya semasa sidang media di Taman Sri Muda.
Panglima Angkatan Tentera turut menyatakan pihaknya meletakkan keselamatan mangsa banjir dan kerjasama dengan agensi lain sebagai keutamaan.
“Ini adalah masanya untuk rakyat Malaysia bersatu dalam menyelamatkan nyawa mereka yang lain,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri melihat kerjasama dan usaha dari pelbagai agensi semasa kejadian banjir menimpa penduduk di Kampung Bukit Lanchong termasuk anggota bomba yang bertindak sebagai antara responden pertama.
Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera turut menyatakan anggota tentera dan aset telah lama bersedia untuk menghadapi bencana.
“Dalam operasi banjir ini, kita telah meletakkan anggota tentera dalam keadaan bersedia dan pengarahan untuk bersedia telah dikeluarkan 2 bulan lalu,” ujarnya.
Affendi turut menegaskan ATM sentiasa komited untuk melaksanakan tugas sekunder di samping melaksanakan tugas untuk mempertahankan kedaulatan negara. – airtimes.my