MANILA, 23 Dis – Kerajaan Filipina telah menganugerahkan kontrak pembinaan 2 buah kapal kovet tentera laut negara itu kepada syarikat Korea Selatan, Hyundai Heavy Industries (HHI).
Notis penganugerahan kontrak telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan Filipina pada 15 Disember lalu.
“Jabatan Kewangan dan Pengurusan telah membayar 15 peratus sebagai deposit untuk projek pembinaan kapal,
“Kontrak akan dimeterai secara rasmi selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini,” lapor media Filipina yang memetik sumber mereka.
Menurut laporan itu, perolehan ini dilaksanakan melalui perjanjian pinjaman antara kerajaan Filipina dan Korea Selatan.
“Perolehan kapal kovet ini adalah salah satu rancangan modenisasi Tentera Laut Filipina,” kata Inquirer.
Tentera laut negara kepulauan itu sebelum ini telah menamatkan perkhidmatan 2 buah kapal peronda yang dibina pada era Perang Dunia ke-2 atas faktor keusangan aset.
Panglima Tentera Laut Filipina, Adeluis Bordado sebelum ini menyatakan pihaknya akan melakukan perolehan sebanyak 2 buah kapal kovet dan 6 peronda luar pesisir dalam tempoh 3 tahun. – airtimes.my