PAHANG, 20 Dis – Memasuki hari ke-2 operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan terjejas, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja diaturgerakkan untuk membantu kerja-kerja pemindahan penduduk malah turut membantu pihak berkuasa awam dalam kerja-kerja pengagihan bantuan makanan.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, anggota Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) telah diaturgerakkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia bagi membantu menyediakan dan memasak sajian untuk 1,000 orang mangsa banjir di PPS berkenaan.
“Anggota dari 25 RAMD sentiasa bersedia menghulurkan apa jua bantuan dalam misi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir,” jelasnya.
Selain itu, TDM menjelaskan, anggota Batalion Ke-7 Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) Mekanize (Mek) yang berpangkalan di Mentakab juga telah di aturgerak untuk membantu masyarakat setempat yang terjejas banjir di Perkampungan Orang Asli Kampung Sementeh, Lanchang.
“Bantuan aturgerak trup adalah untuk memberikan bantuan kepada agensi-agensi pusat yang lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memindahkan mangsa banjir ke PPS,” tambah TDM.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi hantaran di media sosialnya turut memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan aturgerak anggota tentera yang sedang bertungkus lumus dalam memindahkan mangsa yang masih terperangkap di kediaman mereka.
“Gerak kerja operasi banjir TDM turut sedang giat dilaksanakan oleh Pasukan 7 RRD (Mek) di bawah formasi Briged Keempat Infantri Malaysia (4 Bgd) Mek khususnya menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap,
“Ini termasuklah membawa seorang wanita untuk bersalin di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSHAS). Semoga dipermudahkan urusan beliau dan anak dalam kandungan,”ujarnya.
Tambahnya, situasi banjir di Kelantan juga agak membimbangkan. Sehubungan itu, anggota TDM dari Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) bersama aset juga diaturgerakkan untuk operasi kali ini.
“Anggota 21 RAMD bersama trak dan bot tempur sedang bertungkus-lumus membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terkandas khususnya di Pasir Mas,
“Lebih ramai anggota 21 RAMD juga telah berada dalam keadaan siap siaga dan sedia diaturgerak pada bila-bila masa. Jaga diri semua,” tambahnya.
Sehingga hari ini, seramai 31,769 orang mangsa banjir daripada 8,363 buah keluarga telah ditempatkan di 243 buah PPS ekoran banjir yang melanda 9 daerah di negeri ini.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan yang tinggi, iaitu seramai 17,221 orang di 45 buah PPS, diikuti 56 PPS di Temerloh (5,034 orang), 40 PPS di Raub (2,143 orang), 35 PPS di Lipis (1,897 orang) 33 PPS di Jerantut (1,677 orang).
“Mangsa turut ditempatkan di 13 PPS di Pekan (1,181 orang), 15 PPS di Maran (1,363 orang), 2 PPS di Bentong (1,044 orang) dan 6 PPS di Bera (209 orang),
“Mangsa banjir ini mula ditempatkan di PPS berdekatan tempat tinggal masing-masing bermula 17 Disember lalu berikutan kejadian banjir yang teruk,” jelasnya dalam kenyataan. -airtimes