Home Semasa Agong, Permaisuri cemar duli lawat mangsa banjir di PPS

Agong, Permaisuri cemar duli lawat mangsa banjir di PPS

by Nurulhuda

KUANTAN, 20 Dis – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua pusat pemindahan sementara (PPS).

Baginda menitahkan agar ujian saringan tersebut dilakukan bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan menasihati semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini.

Istana Negara menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Baginda bersama Raja Permaisuri Agong menzahirkan keprihatinan kepada mangsa serta berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di 3 PPS.

“Menzahirkan keprihatinan, Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Wisma Belia, PPS Dewan Paya Besar dan PPS SMK Sungai Isap, Kuantan, Pahang hari ini,

“Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu,

“Pada lawatan PPS Wisma Belia Kuantan, Agong menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS,”katanya menerusi kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa-mangsa banjir.

Pada masa yang sama, Baginda turut menasihati rakyat agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir.

Semalam, Al-Sultan Abdullah telah mencemar duli dengan meredah banjir bagi melihat sendiri situasi semasa di sekitar kawasan jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut mengiring baginda ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!