SEMPORNA, 19 Dis – Seorang lelaki disyaki cuba menyedup minyak petrol ke negara jiran bertindak nekad terjun laut selepas menyedari kehadiran Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di perairan Pulau Selakan, pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Polis Mohamad Ismail berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12 tengah hari apabila anggota PPM mengesan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.
“Anggota bertindak memintas bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan,
“Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran anggota PPM bertindak nekad terjun laut meninggalkan botnya dan meloloskan diri ke kawasan cetek pulau berkenaan,
“Hasil pemeriksaan terhadap bot tersebut, berjaya menemukan 10 jeriken mengandungi minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran (Filipina),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Ismail menjelaskan, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM37,815.00 dna rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -airtimes.my