KOTA TINGGI, 19 Dis – Operasi mencari dan menyelamat (Op CARILAMAT) baki 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau pada Rabu lalu ditamatkan.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pusat pangkalan hadapan Carilamat yang dibuka di lokasi tersebut sejak 5 hari lalu akan ditutup hari ini.
“Dimaklumkan operasi pencarian ditamatkan hari ini di mana pusat kawalan di tempat kejadian yang ditubuhkan akan ditutup,
“Bagaimanapun pencarian dan pemantauan di laut dan darat tetap dilakukan oleh petugas yang mengawal persisiran pantai termasuklah rondaan menggunakan aset di laut yang membuat operasi harian,
“Sebagai contoh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan motosikal seperti mana mereka lakukan rondaan Operasi Benteng, manakala APMM menggunakan aset tetap yang berada di laut untuk jalankan operasi penguatkuasaan, dalam masa sama kita tetap jalankan operasi di laut,” jelasnya dalam kenyataan, pada Ahad.
Simon Templer menjelaskan, keputusan ini dibuat selepas tiada penemuan baru dan peluang menemui mangsa di laut tipis ini kerana Op Carilamat yang khusus tanpa sebarang petunjuk dilihat kurang efektif dan berkesan.
Di samping itu, beliau berkata pihaknya akan membuat hebahan berterusan kepada komuniti maritim seperti nelayan, perkapalan dan pengusaha feri untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini.
Beliau turut menghargai kerjasama ATM, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kejora, pejabat daerah dan Konsulat Republik Indonesia.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan komuniti maritim terutama nelayan agar menangguhkan aktiviti di laut jika keadaan cuaca buruk dan peka amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi terutamanya bagi bot kecil. -airtimes.my