KUALA LUMPUR, 19 Dis – Penduduk di Kuala Lumpur diminta bersedia dengan segala kemungkinan banjir susulan hujan yang telah berlanjutan lebih 24 jam.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan arahan itu selepas 4 sungai utama di Kuala Lumpur telah melepasi paras bahaya.
“Antara sungai-sungai tersebut adalah Sungai Batu di Sentul, Sungai Klang di Tun Perak dan Sungai Kerayong di Razak Mansion,
“Bersedia dengan segala kemungkinan banjir,” katanya di laman sosial lewat malam tadi.
Tambahnya, orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan banjir, boleh hubungi Bilik Gerakan Banjir JPSKL di talian 0322028142 atau aduan melalui SISPAA JPS.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memaklumkan, anggota dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula diatur gerak dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk akibat hujan lebat sejak Jumaat.
Beliau berkata, atur gerak aset dan anggota ATM itu kini membabitkan bantuan mangsa banjir di Selangor khususnya di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong.
“Anggota dan aset daripada Markas Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Briged) serta Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged) telah berada di lapangan bagi membantu mangsa banjir di situ,
“ATM pada masa sama bersiap-siaga memperluaskan operasi bantuan di kawasan-kawasan lain yang berpotensi terjejas teruk,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.
Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga.
“Jauhi tempat dilanda banjir, pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah dan jaga prosedur operasi standard ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara. Sama-samalah kita doakan semoga situasi banjir ini segera pulih,” jelasnya. -airtimes.my