Home Semasa PRN Sarawak: 1,866 pusat mengundi, 3,555 saluran dibuka esok

PRN Sarawak: 1,866 pusat mengundi, 3,555 saluran dibuka esok

by Nurulhuda

KUCHING, 17 Dis – Sebanyak 1,866 pusat mengundi melibatkan 3,555 saluran akan dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 46,565 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 1,213,769 pengundi bakal mengundi di PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan, mereka masih boleh mengundi dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing,” jelasnya.

Setiausaha SPR itu turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok.

“Mana-Mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntuk hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Tegasnya, pengundi yang hadir ke pusat mengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dan pengundi perlu melalui 4 stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran sebelum keluar dari pusat mengundi,

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” jelasnya.

Ikmalrudin turut menjelaskan, pengundi bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas.

“Khemah ini akan dipantau oleh pegawai kesihatan dan individu terbabit akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut,

“Manakala, individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi esok agar tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa bahan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding.

“Apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat mengundi,

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki Pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian,

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak mengugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” ujar Ikmalrudin. -airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!