Home Pertahanan dan Keselamatan Bot karam: Belayar ketika cuaca buruk, sindiket penyeludupan tidak berhati perut

Bot karam: Belayar ketika cuaca buruk, sindiket penyeludupan tidak berhati perut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Tragedi malang bot karam membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh dielakkan sekiranya sindiket pemerdagangan manusia tidak bersekongkol menyeludup masuk ke negara ini dengan mempertaruhkan nyawa mereka terutamanya ketika cuaca buruk.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata, mereka (penyeludup) membawa PATI melalui pintu haram dengan mempertaruhkan nyawa belayar ketika cuaca buruk, termasuk meredah ombak setinggi 3 ke 5 meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam.

Beliau berkata, pihaknya turut berdukacita dan memandang serius kejadian meragut nyawa lebih 18 PATI selepas bot yang dinaiki dari Indonesia itu karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Rabu lalu.

Jelasnya, insiden itu turut menambah kebimbangan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kerana angka sebenar PATI yang masih hilang dipercayai melebihi 17 individu hasil maklumat yang diperolehi daripada 14 mangsa yang terselamat.

“Situasi ini sudah tentu memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terlibat untuk melakukan pencarian di samping terpaksa mengharungi keadaan laut yang bergelora ketika musim monsun ini,” katanya dalam satu kenyataan,” pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sejak Operasi Benteng (Op Benteng) dilancarkan pada Mei 2020 bagi mengekang aktiviti penyeludupan PATI, semua aset-aset agensi di bawah koordinasi National Task Force (NTF) sentiasa melaksanakan rondaan dan pemantauan yang ketat di perairan negara.

“Hampir setiap malam terdapat cubaan menyusup masuk, namun dengan pemantauan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) milik APMM berjaya mengesan 1,110 sasaran curiga dengan 689 telah diusir keluar dari perairan Malaysia,

“Meskipun kawalan ketat di sempadan negara telah diuar-uarkan secara meluas, namun masih terdapat PATI yang bersikap degil untuk menyusup masuk hingga membawa padah kepada diri mereka sendiri,

“Bertambah malang, sindiket penyeludupan pula langsung tidak berhati perut malah mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa,” ujarnya.

Mohd Zubil menjelaskan, dalam insiden cuaca buruk seperti ini, bot-bot pemintas penguatkuasa juga turut mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan aset dan penguatkuasa, apatah lagi bot-bot kecil seperti bot pancung yang tidak 3 berupaya mengharungi gelora laut di samping tidak dilengkapi peralatan keselamatan.

Dalam masa yang sama, beliau berharap tragedi menyayat hati ini dapat menjadi pengajaran dan membuka mata PATI serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah.

“APMM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan hot spot di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan PATI ke negara ini,

“APMM akan terus mempertingkatkan kerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan dilumpuhkan ke akar umbi,” jelas Zubil.

Katanya, sindiket yang ditahan boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007).-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!