Home Pertahanan dan Keselamatan Bot karam: 19 maut, 17 masih hilang

Bot karam: 19 maut, 17 masih hilang

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 16 Dis – Operasi mencari dan menyelamat (Op CARILAMAT) hari kedua mangsa insiden bot karam di perairan Tanjung Balau diteruskan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, penemuan mayat terbaharu itu menyaksikan jumlah mangsa warga Indonesia yang maut meningkat kepada 19 orang setelah 5 mayat ditemui antara jam 6.45 hingga 7.46 pagi tadi.

“Sehingga hari ini, jumlah mangsa yang ditemui seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI), di mana 14 orang selamat dan 19 maut,

“Dipercayai seramai 17 orang masih hilang dan usaha-usaha pencarian giat diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Simon menjelaskan, Op Carilamat pada hari kedua diteruskan dengan penglibatan sebuah pesawat udara, sebuah kapal dan sebuah bot daripada APMM.

Tambahnya, 2 buah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebuah pesawat udara dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menyertai carian pada sebelah petang.

“Keluasan pencarian udara merangkumi seluas 76.50 batu nautika, manakala pencarian laut seluas 146.81 batu nautika,

“Operasi pencarian di darat juga diteruskan dengan bantuan daripada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Agensi Pertahanan Malaysia (APM) dengan jumlah keseluruhan seramai 145 orang,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan operasi mencari ini akan diteruskan sekurang-kurangnya 2 hari lagi.

“Kita akan teruskan lagi pada hari esok dan akan disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” ujarnya.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu bot pancung terbabit dipercayai karam dipukul ombak akibat cuaca buruk.

Kesemua mayat akan dihantar ke hospital Sultan Ismail (HSI), manakala PATI yang selamat diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!