SEMPORNA, 16 Dis – Cubaan 2 buah bot yang membawa 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina untuk menyusup masuk ke negara ini gagal apabila berjaya dikesan dan dipintas oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan Semporna, semalam.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot berkenaan dikesan dari arah Pulai Sitangkai Filipina menuju ke Bangau-bangau.
“Pesawat jenis C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan 3 buah bot dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke Bangau-Bangau, melalui kawasan Perairan Malaysia,
“Sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim Quick Reaction Force (QRF),
“Ketika dipintas dan diperiksa oleh QRF, kedua-dua buah bot tersebut membawa seramai 42 PATI yang terdiri daripada 14 lelaki, 10 wanita, 18 kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Tim QRF turut mendapati barangan yang ditemui hanyalah barang-barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal.
Abdul Karim menjelaskan, anggota bertugas telah mengusir kedua-dua bot tersebut keluar dari perairan Sabah dengan diiringi aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sementara itu, jelasnya Fast Interceptor Craft (FIC 04) bersama Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan QRF di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) turut diaturgerakkan ke perairan Pulau Pom Pom bagi mengesan sebuah bot meloloskan diri, namun bot tersebut telah berpatah balik ke sempadan antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Abdul Karim menjelaskan, pihaknya akan mempertingkatkan kesiagaan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga mengekang penularan wabak COVID-19.-airtimes.my