KUALA LUMPUR, 15 Dis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti UMNO yang telah dirampas oleh perasuah dan penyangak hanya menggunakan orang Melayu untuk menjadi sebuah kerajaan.
Beliau berkata, mereka hanya berhasrat menggunakan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa untuk memperkayakan diri mereka.
Menurutnya, sehingga kini, orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu dan mereka tidak ada pilihan hendak menyokong parti Melayu melainkan UMNO.
“Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu,
“Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi Kerajaan dan mengguna kuasa Kerajaan untuk memperkayakan diri mereka,
“Sejak mereka ambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah,” jelasnya menerusi hantaran di laman sosialnya hari ini.
Tegasnya, jika UMNO masih disokong orang Melayu, maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi yang akan merosakkan dan menghancurkan negara serta orang Melayu.
“Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) ditubuh. Ia adalah parti Melayu atau Bumiputera seperti UMNO,
“Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka PEJUANG boleh dijadikan pilihan,
“Bukan sahaja PEJUANG parti Melayu tetapi ia mendokong semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union, yang memerdekakan Malaya dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger,” tegasnya.
Selain dari itu, Tun Mahathir menegaskan, partinya sentiasa menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa.
“Kepimpinan PEJUANG terdiri dari bekas pemimpin UMNO yang telah berjaya bangunkan Malaysia. Mereka akan latih semua pemimpin PEJUANG supaya pegang kuat kepada prinsip perjuangan UMNO dahulu iaitu khidmat untuk bangsa, negara dan agama serata bukan untuk diri sendiri,
“Calon-calon PEJUANG akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama,
“Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia,” tambah Tun Mahathir.
Tun Mahathir menjelaskan, rakyat yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah mereka, akan dapat menyokong parti PEJUANG demi rakyat.
“Dengan adanya PEJUANG yang disertai oleh orang Melayu dan bumiputera maka orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong PEJUANG, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama,” ujarnya. -airtimes.my