Home Pertahanan dan Keselamatan Tempoh kebenaran bekerja pekerja asing dilanjutkan

Tempoh kebenaran bekerja pekerja asing dilanjutkan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penggajian pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Program Rehiring.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, program ini dilanjutankan setahun demi setahun sehingga maksimum 5 tahun tertakluk kepada keperluan.

Beliau berkata, kerajaan pada 19 November lalu telah mengambil langkah ini bagi mengelakkan para majikan terputus sumber tenaga kerja terutama dalam sektor pekerjaan 3D (dirty, difficult dan dangerous).

Program Rehiring merupakan inisiatif kerajaan yang dilaksanakan pada tahun 2016 bertujuan untuk memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di Malaysia untuk diberikan PLKS yang sah untuk tempoh maksimum 5 tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor-sektor yang dibenarkan.

“Sehingga 30 November 2021, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan 185,577 PLKS Program Rehiring yang masih aktif,

“Mengambil kira pelaksanaan Program Rehiring mulai tahun 2016, PLKS yang sah laku untuk tempoh 5 tahun bagi Program ini akan tamat secara berfasa mulai tahun 2021 sehingga tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, JIM mengumumkan bahawa permohonan pelanjutan PLKS bagi Program Rehiring akan dibuka mulai 20 Disember 2021.

Katanya, JIM meminta majikan yang menggaji pekerja di bawah Program Rehiring agar pekerja dan majikan tidak melanggar apa-apa syarat pas yang dikeluarkan semasa penggajian di bawah program ini.

“Pekerja yang telah disenaraihitam adalah tidak layak untuk memohon lanjutan; pekerja tidak boleh bertukar majikan atau sektor, kecuali melalui kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri (KDN); hanya majikan dan wakil majikan yang sah dibenarkan mengemukakan permohonan lanjutan,

“Lanjutan PLKS ini hanya dibenarkan secara dalam talian melalui ePLKS atau MyEG dan pertimbangan pelanjutan PLKS tertakluk kepada prosedur penggajian pekerja asing yang berkuatkuasa,” ujarnya.

Tegasnya, JIM menggesa supaya semua majikan mengambil peluang melalui keputusan kerajaan ini untuk memperbaharui PLKS pekerja masing-masing.

“Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah Program Rehiring ini di laman sesawang JIM di pautan https://www.imi.gov.my,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!