KUALA LUMPUR, 15 Dis – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah telah melaksanakan 176 serbuan dan merampas pelbagai jenis barang yang dianggarkan bernilai RM97.5 juta sejak 1 Januari lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya turut menahan seramai 1,119 orang yang terdiri daripada 190 lelaki, 4 wanita warga tempatan dalam operasi tersebut.
“Selain itu, pihak kami turut menahan 616 lelaki, 295 wanita dan 14 kanak-kanak warga asing,
“Kesemua individu berusia 1 hingga 64 tahun itu ditahan dalam Operasi Nyah 1, Operasi Benteng, Operasi Kontraband dan Operasi Khazanah,” katanya pada sidang akhbar di Briged Tengah PGA pada Rabu.
Muhammad berkata, nilai rampasan Briged Tengah pada tahun ini adalah tertinggi berbanding Briged lain di negara ini.
“Nilai rampasan melibatkan kenderaan (RM9.1 juta), rokok seludup (RM41.6 juta), arak seludup, ketum (RM38.38 juta), dadah (RM202,650), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM120,500),
“Selain itu, turut dirampas melibatkan bahan letupan (RM1.48 juta), barangan kawalan seperti rampasan padi, beras, minyak diesel (RM2.63 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta) wang tunai serta lain-lain rampasan (RM802,137),” jelasnya.
Beliau menjelaskan, sindiket penyeludupan sentiasa menukar modus operandi mereka untuk mengelak dari ditangkap pihak berkuasa.
“Taktik mereka semasa pandemik COVID-19 sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, kita percaya ada penyeludup masih menggunakan bot nelayan kecil untuk menyeludup barangan,
“Beberapa pendatang tanpa izin (PATI) turut ditahan selepas mereka berjaya memasuki negara ini. Kita juga mengesan penyeludup PATI turut mengiklankan perkhidmatan melalui media sosial,” jelasnya.
Muhammad berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010.
“Kita turut melakukan siasatan mengikut Akta Kawal Selia Padi dan Beras, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Kesalahan Barang Lusuh 1946, Akta Senjata Api 1971, Akta Kastan dan Eksais 1976 serta Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Muhammad berkata, pihaknya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara selain ketenteraman awam.
“Kita berharap orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan,” tegasnya.-airtimes.my