Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin serbu premis, rampas RM49 ribu arak tiruan

Polis Marin serbu premis, rampas RM49 ribu arak tiruan

by Nurulhuda

MUAR, 14 Dis 21 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Johor berjaya merampas minuman keras tidak mempunyai cukai kastam bernilai lebih kurang RM49 ribu dalam satu serbuan Operasi Kontraban di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, awal pagi semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah 2, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, serbuan itu dilakukan oleh anggotanya dan dibantu oleh PPM Wilayah 2, Muar kira-kira jam 2 pagi hasil dari maklumat awam.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan telah berjaya menahan 3 orang lelaki tempatan berumur 18 hingga 32 tahun dan telah merampas sejumlah 468.92 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam bernilai RM 49,049.03.

“Turut dirampas, peralatan untuk memproses arak dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut,

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 76,049.03,” jelasnya.

Noor Azman menjelaskan, tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Memperbaharui undang-undang (penghapusan samsu gelap),” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan semua maklumat kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI dan lain-lain kepada pihak berkuasa. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!