Home Semasa Tempoh diskaun saman wajar dilanjutkan – Zahid Hamidi

Tempoh diskaun saman wajar dilanjutkan – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk melanjutkan tempoh pembayaran diskaun saman trafik bagi memberi peluang kepada lebih ramai individu menikmati kemudahan yang diberikan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun diskaun 80 peratus ditawarkan itu membuatkan rakyat gembira dan lega kerana mampu membayar saman trafik pada harga jauh lebih rendah tetapi, terlalu banyak rungutan didengar berhubung pelaksanaannya.

“Portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman sepatutnya membolehkan bayaran saman dibuat secara dalam talian tidak dapat diakses,

“Ini sedikit sebanyak menyukarkan orang ramai. Orang ramai terpaksa berpusu-pusu ke kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah kerana tawaran sah untuk tempoh 4 hari sahaja,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial miliknya pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, jumlah orang ramai di kaunter yang melebihi had membuatkan tidak semua berpeluang memasuki kawasan itu dan terpaksa pulang dengan perasaan kecewa.

Menurutnya, tawaran yang sepatutnya menggembirakan itu sebaliknya menjadi kemarahan dalam kalangan rakyat.

“Keadaan terbabit sepatutnya boleh dielakkan jika perancangan teratur dilaksanakan,

“Memandangkan jumlah mereka yang mahu mendapatkan diskaun saman trafik terlalu ramai, tempoh masa untuk membuat bayaran wajar dilanjutkan,

“Ini demi berlaku adil dan mencapai objektif diskaun saman untuk mengurangkan beban rakyat semasa pandemik COVID-19,” tambahnya.

Diskaun saman trafik itu ditawarkan PDRM bermula 9 hingga 12 Disember ini bersempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!