Home Pertahanan dan Keselamatan 222 PATI Indonesia dihantar balik kampung

222 PATI Indonesia dihantar balik kampung

by Nurulhuda

TAWAU, 11 Dis – Seramai 222 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang melalui pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Sh. Siti Saleha Habib Yussof dalam kenyataan berkata, program penghantaran pulang ini dilaksanakan dengan kerjasama Konsultan Jenderal Republik Indonesia.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua hukuman telah mengikut proses perundangan negara untuk mereka diusir dari negeri Sabah,” jelasnya.

Siti Saleha menjelaskan, JIM Sabah telah mengusir seramai 2,659 orang PATI yang melibatkan 1,178 warganegara Filipina, 1,115 (Indonesia) manakala 366 adalah dari kalangan lain-lain negara sejak 1 Januari lalu.

“Dalam tempoh ini juga, JIM Sabah telah mengemukakan seramai 2,000 orang penama yang merujuk kepada orang tahanan (OT) warganegara Filipina kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi tujuan proses penghantaran pulang ke negara asal memandangkan program berkenaan yang dijadualkan secara berterusan sebelum ini telah lama tertangguh sejak Jun 2021,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, JIM Sabah sentiasa komited melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap PATI dan tindakan penghantaran pulang warganegara asing akan dilaksanakan setelah mereka melalui semua proses perundangan serta mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!