Kuala Lumpur, 10 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung dari 9 hingga 12 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikenakan kompaun RM1,000 kerana kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, program anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri itu dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).
Susulan itu, beliau berkata, kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC akan ditutup serta-merta bermula petang ini.
“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM,
“KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Menurutnya, penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Penganjuran majlis rasmi kerajaan seperti ini sepatutnya memberikan contoh yang baik dan teladan kepada orang ramai bukan dari aspek pelaksaanaan program, malahan juga dari segi aspek pematuhan SOP serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,
“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan kerana pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan peraturan SOP yang ketat,
“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir akan memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Khairy berkata, untuk makluman susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.
“Sehubungan itu, sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” tegasnya. -airtimes.my