Home Pertahanan dan Keselamatan 37 Op Benteng dalam tempoh 100 hari – Perdana Menteri

37 Op Benteng dalam tempoh 100 hari – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Kementerian Pertahanan telah meningkatkan kawalan sempadan melalui 37 pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara dalam tempoh 100 hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin dan ia menjadi keutamaan kementerian tersebut.

“Kerajaan juga tidak berkompromi dalam memastikan keselamatan awam terus menjadi keutamaan,” jelasnya ketika berucap sempena Majlis Perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau menjelaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah memperkukuh penguatkuasaan keselamatan, terutama dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Melalui program ini seramai 136,929 orang PATI telah dihantar pulang. Pelaksanaan inisiatif ini, untuk meningkatkan kawalan keselamatan, memperkukuh penguatkuasaan dan pengurusan warga asing serta menurunkan kadar jenayah, seterusnya memelihara kebajikan rakyat,” tambahnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya sentiasa memberikan keutamaan kepada hubungan Malaysia dengan negara-negara ASEAN bagi memperkukuhkan keselamatan negara di peringkat antarabangsa.

“Dalam usaha kerajaan memperkukuh keselamatan negara di peringkat antarabangsa, Kementerian Luar Negeri telah memuktamadkan Kerangka Dasar Luar Negeri,

“Saya juga sentiasa memberikan keutamaan kepada hubungan Malaysia dengan negara ASEAN, selari dengan prinsip ASEAN prosper-thy-neighbour yang saya kira amat tekal dengan nilai keluarga Malaysia yang ingin saya terapkan,

“Saya percaya, dengan kejiranan yang makmur, Malaysia dapat memperoleh kemajuan maksimum dari aspek keselamatan, sosial dan ekonomi,” ujarnya.

Menurutnya, lawatan rasmi beliau ke Indonesia dan Singapura baru-baru ini telah mencapai persefahaman tentang pelaksanaan inisiatif koridor perjalanan antara kedua-dua negara, yang dikenali sebagai Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dan Aturan Koridor Perjalanan (TCA).

“Inisiatif ini telah direalisasikan bersama Singapura pada 29 November 2021,

“Kunjungan ke Indonesia juga telah memeterai 2 memorandum dalam sektor pendidikan dan kastam, yang akan memperkukuh kolaborasi kedua-dua negara dalam aspek tersebut,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dengan negara luar, telah membolehkan kerajaan memperoleh sumbangan vaksin dan peralatan perubatan yang sewajarnya.

Tambahnya, dengan sumbangan ini, sekali gus memperkasakan kesejahteraan sosial melalui kerjasama antarabangsa untuk menangani COVID-19.

Turut hadir, barisan Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Program 100 Hari AKM ini diadakan selama 4 hari bermula hari ini sehingga 12 Disember 2021 di mana ia akan dibuka pada jam 9 pagi hingga 10 malam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pelbagai aktiviti telah disusun atur oleh kesemua 31 kementerian di gerai-gerai pameran masing-masing yang melibatkan pameran dan perkhidmatan langsung daripada kementerian atau agensi kepada pengungjung yang hadir.

Sebanyak 31 kementerian yang terdiri daripada 26 kementerian dan 5 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu menetapkan sasaran aspirasi dalam tempoh 100 hari. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!