Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Zamrose laksana kunjungan hormat ke Jakarta, pertingkat hubungan diplomasi TDM-TNI

Zamrose laksana kunjungan hormat ke Jakarta, pertingkat hubungan diplomasi TDM-TNI

by Nurulhuda

JAKARTA, 7 Dis – Hubungan bilateral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) sentiasa kekal utuh melalui jalinan kerjasama antara kedua-dua negara.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, hubungan yang sudah terjalin sejak tahun 1985 itu merupakan persefahaman yang baik dan amat penting dalam pembentukan rangkaian peningkatan pembangunan keselamatan dalam negara serumpun.

Beliau berkata demikian dalam sesi Kunjungan Hormat sempena lawatan kerja kepada Kepala Staf Angkatan Darat (KASAD), Jeneral TNI Dudung Abdurachman S.E, M.M di MABES AD, Jakarta, pada Isnin.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kunjungan hormat ini bertujuan mengeratkan hubungan diplomasi ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia selain ucapan penghargaan Zamrose kepada Dudung Abdurachman yang secara rasmi telah dilantik sebagai KASAD pada 17 November 2021 yang lalu.

Sementara itu, Dudung Abdurachman menjelaskan, hubungan bilateral antara Indonesia dan Malaysia sudah terjalin erat kerana kedua-dua negara ini merupakan negara sahabat dalam satu kawasan.

“Ia juga dapat dilihat melalui gabungan kerjasama dalam bidang ketenteraan seperti latihan dan operasi secara bersama yang dilaksanakan,” jelas hantaran itu.

TDM menjelaskan, kunjungan hormat ini juga sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke – 28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan yang memberi tumpuan kepada aspek kepada kerjasama pertahanan bersama negara serantau mahupun antarabangsa. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!