KUALA LUMPUR, 7 Dis – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, isu kebajikan membabitkan anggota tentera dan warga Kementerian Pertahanan menjadi perkara utama dalam menjayakan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kementerian berkenaan.
Beliau berkata, pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT Bukit Jalil pada bulan lalu antara usaha kementeriaanya dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
Menurutnya, selagi beliau memegang portfolio berkenaan, isu kebajikan anggota Angktan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran, balu dan keluarga terutamanya di bandar besar tidak akan dikompromi.
“(Isu perumahan untuk anggota) bagi saya adalah satu perkara yang tidak akan saya kompromi selagi saya memimpin Kementerian Pertahanan kerana ia dapat dirasai dan dilihat oleh mereka yang dibantu secara langsung,
“Saya boleh beri contoh seorang anggota tentera yang bertugas di Bukit Jalil menyewa bilik di Klang pada harga RM900 sebulan tetapi elaun sewaan yang diterima hanya RM350. Itu hanya untuk 1 bilik sahaja,
“Jadi apa yang kita lakukan baru-baru ini dengan pelancaran RKMAT Bukit Jalil yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kementerian membina rumah baru khusus di bandar supaya mereka dapat hidup dalam keadaan lebih selesa,
“Ini telah kita kecapi di dalam 100 hari, untuk membuktikan kesungguhan kita (Kementerian Pertahanan),” katanya semasa temu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM hari ini.
Tambah Hishammuddin, pelancaran RKMAT tersebut membuktikan apa yang diumumkan oleh ATM dan kementerian itu bukan sahaja di atas kertas tetapi akan dilaksanakan dengan jayanya.
RKMAT Bukit Jalil dilancarkan oleh Ismail Sabri Yaakob pada 3 November lepas dan mempunyai 2,000 unit dan dapat memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.
Hishammuddin turut berkata, pihaknya juga memberi tumpuan dalam membela kebajikan veteran ATM yang menghadapi kesukaran susulan pandemik COVID-19.
“Sehingga kini, terdapat seramai 204,020 veteran ATM berdaftar dan dalam keadaan masalah kewangan, kami membuat keputusan untuk memberi fokus kepada mereka yang memerlukannya
“Selepas keadaan kembali seperti sediakala dan kedudukan kewangan negara kembali kukuh, kami akan melihat kembali kebajikan veteran ini secara menyeluruh, tetapi buat masa ini kami fokus kepada mereka yang betul-betul memerlukannya sekurang-kurangnya mereka dapat sedikit keselesaan semasa tempoh ini,” ujarnya. -airtimes.my