KUALA LUMPUR, 6 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan.
Beliau berkata, muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan.
“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO,
“Sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS.
“Kerana itu UMNO perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya,
“Mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik,” ujarnya.
Tegasnya, seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.
“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,
“Sebab itu UMNO mempercayai MN yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, MN ditubuhkan atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.
“UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam PRN Melaka, namun bertepuk sebelah tangan,
“Pimpinan PAS sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN,
“Pimpinan PAS membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama PPBM yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO,” katanya lagi.
Pada masa sama, UMNO tetap menghormati pendirian dan hak pimpinan PAS untuk bersama Perikatan Nasional (PN) kerana inilah sebuah negara demokrasi.
Malah UMNO tidak pernah mengarahkan PAS tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai.
“Tetapi ketahuilah, UMNO sedari awal telah pun berada dalam sebuah kemuafakatan rakyat iaitu Barisan Nasional (BN),
“Semangat perpaduan di negara kita itu hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara tercinta,
“Hidup muafakat membawa berkat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur. Biar fakta berbicara,” jelasnya lagi. – airtimes.my