JOHOR BAHRU, 6 Dis – Polis Johor telah menahan 12 ahli ‘Geng Janggut’ yang merupakan sidiket penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 3 serbuan Operasi Benteng (op Benteng) di sekitar Johor Bahru dan Kulai pada Rabu serta Khamis lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan itu melibatkan 10 warga Indonesia dan 2 warga tempatan berusia antara 22 hingga 50 tahun terdiri daripada 3 tekong darat, 3 pengangkut, seorang penjaga rumah transit dan 5 orang PATI.
Ayob menjelaskan, sindiket ini diketuai seorang warga Indonesia dikenali sebagai ‘Janggut’ yang dibantu 2 lagi rakan senegara dan beroperasi di sekitar kawasan Sungai Tengah Bandar Penawar, Kota Tinggi serta mula bergerak aktif sejak April lepas.
“Sindiket berkenaan sangat tersusun dan lengkap. Penduduk tempatan bertindak sebagai rakan sekongkol yang menyalurkan maklumat pergerakan pihak berkuasa. Modus operandi sindiket ini dipercayai mendapat bantuan dan kerjasama ejen atau pengurus lain yang akan mengatur pergerakan PATI,
“PATI akan berhubung dengan ejen atau pengurus terbabit dan seterusnya mereka mengatur perjalanan migran menerusi sindiket. ‘Transporter’ atau pengangkut akan digunakan untuk mengambil atau menghantar migran dari kawasan pendaratan sebelum ditempatkan di rumah penampungan sementara untuk tempoh tertentu,
“PATI kemudian dihantar ke lokasi yang dikehendaki mereka atau ke stesen bas berdekatan dan bergerak sendiri ke lokasi yang diingini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Ahad.
Beliau berkata, migran yang hendak masuk ke negara ini dikenakan bayaran RM1,300, yang perlu dijelaskan sebelum menaiki bot dari Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia dan ia tidak termasuk bayaran pengangkut yang akan mengambil serta membawa mereka dari pantai Malaysia ke lokasi yang hendak dituju.
“RM1,500 dikenakan bagi bayaran keluar migran dengan RM250 sebagai wang pantai Malaysia atau RM700 dibayar setibanya di pantai Batam atau Tanjung Balai,
“Sindiket ini aktif sekitar kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar Kota Tinggi. Pada Jun hingga September lalu, sindiket ini mengatur lebih kurang 465 PATI masuk dan 150 PATI keluar melibatkan 15 pendaratan bot di kawasan terbabit. Sindiket ini tiada kaitan dengan sindiket rokok,” jelasnya.
Tambahnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. -airtimes.my