KUALA LUMPUR, 5 Dis – “Tanpa terkurang rasa hormat saya kepada Tan Sri Presiden PAS, saya menegaskan bahawa pandangan beliau bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar sebenarnya,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan UMNO memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN) adalah tersasar.
“UMNO tidak pernah mungkir pada piagam Muafakat Nasional,
“Kepada rakan-rakan dalam PAS, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mesti menjadi sebahagian darinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, salah satu sebab MN dibidani kelahirannya ialah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang mana PPBM adalah komponen PH waktu itu.
“Justeru untuk memaksa UMNO menerima PPBM adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan,
“Apalagi bila mengenangkan bagaimana PPBM bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO,” katanya.
Menurut Mohamad, memang benar MN itu harus memayungi semua orang Melayu.
“Namun sesiapa jua yang ingin kita bawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan PAS,
“Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan PAS,” ujarnya.
Tegasnya, kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan.
“Jujurnya kerana UMNO tidak mahu menyinggung PAS,
“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa, UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan PPBM. UMNO terikat dengan pendirian ini,
“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” jelasnya.
Tambah Mohamad, piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat. MN pula tidak kita daftarkan.
“Sebabnya kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata,
“Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima PPBM, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan PPBM menyertai MN,” katanya lagi.
Jelas Mohamad, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.
“Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, Insya Allah,” ujarnya lagi. – airtimes.my