SABTU, 4 Dis – Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menahan seramai 25 orang warga asing yang dipercayai sebagai tekong dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam 2 lokasi berasingan menerusi Op Benteng di Morib, Selangor, awal pagi semalam.
Pegawai Memerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Polis, Rizal Mohamed berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 7.30 pagi ketika pihaknya sedang membuat rondaan dan menahan 3 buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tali Air, Morib.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, pihaknya telah menahan 3 lelaki dewasa warga asing berumur 32 hingga 35 tahun dipercayai sebagai tekong darat, transpoter dan 11 lelaki dewasa warga asing berumur diantara 19 hingga 37 tahun serta 10 perempuan dewasa warga asing berumur antara 18 hingga 44 tahun yang berada dalam kenderaan tersebut,
“Siasatan awal mendapati kesemua PATI tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan baru masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,” ujarnya.
Menurut Rizal, hasil pemeriksaan pihaknya lagi mendapati salah seorang daripada PATI didapati memiliki kad pengenalan Malaysia dipercayai palsu.
Tambahnya lagi, tangkapan kedua dilakukan pada jam 1.30 petang telah menahan seorang lelaki dewasa berumur 34 tahun dipercayai sebagai perancang utama dalam aktiviti penyeludupan PATI di Pantai Baru Morib, Selangor.
“Semasa proses tangkapan dijalankan, terdapat cubaan memberi wang suapan sebanyak RM6,000.00 bagi membebaskan kesemua tangkapan dan rampasan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1963 dan Akta SPRM 2009,” katanya lagi.
Beliau menambah, sebanyak 4 buah kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM6,000 yang dirampas bernilai anggaran keseluruhan RM55,550. -airtimes.my