Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Eksesais ARNEX-21 perkasa keselamatan, kestabilan maritim serantau

Eksesais ARNEX-21 perkasa keselamatan, kestabilan maritim serantau

by Air Times News Network

LUMUT, 4 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjalinkan kerjasama pertahanan menerusi penglibatan latihan bersama dengan angkatan laut dari negara-negara ASEAN dalam Eksesais ASEAN-Russia Naval Exercise (ARNEX) 2021 yang berlangsung di sekitar perairan Belawan dan Sabang, Indonesia bermula 28 November hingga 4 Disember 2021.

Pejabat Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) dalam satu kenyataan berkata, eksesais ini berkonsepkan joint actions to ensure the safety of maritime economic activity and civil navigations.

“Latihan multilateral ini telah menggariskan objektif untuk memperkasakan kesefahaman dan meningkatkan interoperability antara angkatan laut di rantau ini,

“Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) telah diberikan penghormatan selaku penganjur bagi siri eksesais yang berlangsung pada edisi ini,” katanya.

Selain penglibatan aset angkatan laut Rusia, gabungan dari 7 angkatan laut negara ASEAN yang terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Myanmar, Singapura, Vietnam dan Thailand telah memberikan komitmen yang jitu menerusi penglibatan secara langsung aset masing-masing di lapangan.

“Manakala sebanyak 3 angkatan laut iaitu Laos, Kemboja dan Filipina menterjemahkan komitmen masing-masing menerusi penglibatan sebagai pemerhati secara maya,

“Secara keseluruhan sebanyak 8 buah kapal dari pelbagai kelas dan 4 aset udara telah terlibat dalam menjayakan kelangsungan eksesais ini dengan TLDM hadir menerusi penglibatan KD LEKIU yang memberikan nilai tambah dan variasi kepada ketumbukan sedia ada,” ujarnya.

Menurutnya, latihan di laut yang melibatkan kapal dan aset udara telah menguji keupayaan interoperability kesemua angkatan laut yang terlibat dalam dimensi peperangan konvensional.

“Antara lain melibatkan latihan peperangan permukaan, manuvra taktikal, mencari dan menyelamat, pendaratan helikopter serta komunikasi,

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kesemua angkatan laut yang terlibat dalam melaksanakan latihan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) kawalan penularan pandemik yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Katanya, ARNEX-21 dilihat telah memperkasakan tahap kesefahaman dan menyemarakkan jalinan kerjasama pertahanan kesemua angkatan laut negara terlibat, selain dapat memelihara tahap keselamatan dan kestabilan maritim di rantau ini.

Pada masa sama, TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!