PORT DICKSON, 1 Dis – Penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia tidak menghalang kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan tugasan harian termasuklah anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) untuk mejalankan misi di Lubnan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, situasi jangkitan COVID-19 dalam kalangan anggota tentera buat masa ini berada dalam keadaan terkawal dan pihaknya akan meneruskan langkah pencegahan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan bagi mengurangkan jangkitan dalam kalangan anggota.
“Sememangnya pergaulan bersama rakan sejawat dan masyarakat tempatan telah membuka ruang untuk mereka dijangkiti virus yang membawa maut ini,
“Alhamdulillah, berkat disiplin tinggi serta pematuhan yang ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta pembudayaan amalan norma baharu kontinjen ini telah mengharunginya tanpa sedikitpun menjejaskan kesiapsiagaan keseluruhan kontinjen ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada kontijen Malbatt 850-8 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), pada Rabu.
Menurut Affendi, ATM sentiasa memastikan anggotanya mematuhi segala SOP termasuk semasa penugasan di Lubnan.
“Saya tahu pandemik COVID-19 ini memberi kesan termasuk semasa penugasan luar negara seperti misi MALBATT ini,
“Apa yang penting perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19. Saya difahamkan ia masih di bawah kawalan dan tidak serius serta tidak menjejaskan kesiapsiagaan anggota misi MALBATT,” tambahnya.
Tambah Affendi, pihaknya akan melaksanakan kawalan tertentu bagi mengelakkan kehadiran varian baru COVID-19 terus merebak dalam kalangan anggota semasa melaksankan tugasan mereka.
“Bagaimanapun pada masa yang sama, pandemik COVID-19 telah mempengaruhi cara kami bekerja iaitu secara berkelompok dan kami telah menjalankan cara pencegahan dan rawatan agar virus tersebut tidak tersebar termasuk di kem-kem,” jelasnya. -airitmes.my