JOHOR, 29 Nov 21 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, telah menahan seorang lelaki warganegara tempatan yang menjadi dalang dalam aktiviti pemerdagangan manusia bersama 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung, Bakar Batu pada Ahad.
Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Polis (ACP) Muhd Zailani Abdullah berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM) dan kerjasama penduduk setempat yang menyalurkan maklumat jenayah termasuk penyeludupan migran.
“Operasi tersebut telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun yang menjadi dalang dalam penyeludupan migran,
‘’Anggota pasukan juga berjaya menyelamatkan 6 orang warganegara Indonesia iaitu 4 lelaki dan 2 wanita berumur dalam lingkungan 28 hingga 45 tahun dalam operasi tersebut,” jelasnya menerusi kenyataan pada Isnin.
Muhd Zailani menjelaskan, pasukan turut merampas sebuah kereta MPV jenis Toyota Innova yang digunakan dalam aktiviti tersebut. Manakala kes disiasat dibawah ATIPSOM 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada penguatkuasa bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam maritim. -airtimes.my