SEBERANG PERAI, 29 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penyeludupan warganegara Myanmar dalam serbuan berasingan yang dijalankan menerusi Operasi Pintas.
PDRM Pulau Pinang menerusi hantaran di media sosialnya berkata, operasi tersebut telah berjaya menahan 2 lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warganegara Myanmar dipercayai dalang bagi aktiviti berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, 2 lelaki bersama seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warganegara Myanmar yang ditahan berasingan berusia antara 43 hingga 66 tahun dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua PATI dengan menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam.
“Serbuan adalah hasil risikan yang dilakukan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,
“Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan 5 perempuan warganegara Myanmar yang berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan oleh pihak polis,
“Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.
Rahimi Ra’ais menjelaskan, pihaknya turut merampas 4 buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dalam operasi tersebut.
“Kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Manakala, dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau keduanya,
“PATI yang ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan tidak memiliki permit yang sah) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih dari 5 tahun atau keduanya dan boleh juga dikenakan dengan sebatan yang tidak lebih dari 6 kali sebatan,” tambahnya. -airtimes.my
Twt: Sindiket penyeludupan manusia tumpas dalam serbuan berasingan yang dijalankan di Seberang Perai.
#PDRM #Keselamatan #PATI #OpBenteng #AirTimes