GEORGTOWN, 27 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 3 orang lelaki tempatan dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM134,800.00 .
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kesemua lelaki tersebut ditahan dalam 2 serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Balai Polis Bukit Tengah di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah pada 23 November lalu.
“Dalam serbuan tersebut, seramai 3 orang lelaki tempatan berumur antara 38 tahun sehingga 47 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut. Aktiviti pengedaran dadah dipercayai bergiat aktif sejak bulan Jun 2021 dan dipercayai untuk pasaran tempatan,
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 68,842 orang penagih dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis morphine atau methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dan jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup,
“Sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada (15) sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Mustafa menjelaskan bahawa PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memastikan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras. -airtimes.my