Home PolitikPakatan Harapan Baik bersama parti yang kalah demi membela rakyat – Maslee Malik

Baik bersama parti yang kalah demi membela rakyat – Maslee Malik

by Nurulhuda

KLUANG, 27 Nov – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah hampir setahun tidak menyertai mana-mana parti.

Mazlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan perkata itu ketika menghadiri program Jelajah Presiden yang dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan JKKK Kampung Baru Machap, pada Sabtu.

Beliau turut mendedahkan pernah didaftarkan sebagai ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada 2017.

“Sementelahan Keadilan berada dalam situasi dan populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini terutamanya selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya berasa terpanggil melakukan sesuatu untuk membawa perubahan,

“Ada yang mengejek mengapa masuk parti kalah, malah presidennya diserang dari pelbagai sudut oleh lawan semata-mata dan segelintir kawan menyerang beliau,

“Lebih malang ada yang sindir apakah ertinya saya menyertai Keadilan ketika mereka sedang lemah dan tidak menjadi pilihan,

“Kepada rakyat, saya ingin katakan inilah harga sebuah perjuangan. Jikalau yang digelar katak politik itu melompat masuk dari satu parti ke parti lain untuk habuan, jawatan, kedudukan dan laba kewangan, tetapi apabila mengambil langkah untuk bersama parti yang kalah demi membela rakyat serta mengembalikan reformasi itu bukan katak, itu adalah perjuangan untuk negara,

“Saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opurtunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau wang ganjaran serta kedudukan,” katanya.

Maszlee sebelum ini merupakan seorang ahli akademik yang menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam.

Beliau pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

Beliau kemudian memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Sementara itu, Anwar turut menyambut baik kemasukan Maszlee ke dalam partinya dan menyanjung keberanian beliau untuk menyertai PKR dalam keadaan ada yang bersikap sinis terhadap perjuangan parti itu.

“Hari ini, kita terima satu berita menggembirakan dan menggalakkan seorang tokoh muda yang mempunyai potensi dan harapan tinggi menceburkan diri dalam bidang politik dan memilih bersama PKR,

“Saya ‘salute’ dengan sikap berani beliau, ketegasan beliau memilih dalam keadaan ada bersikap sinis terhadap perjuangan kita,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!