Home Semasa Turkish Aerospace sasar tingkat kerjasama industri pertahanan dan aeroangkasa Malaysia-Turki

Turkish Aerospace sasar tingkat kerjasama industri pertahanan dan aeroangkasa Malaysia-Turki

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kehadiran syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) di negara ini akan membuka ruang baharu kerjasama dalam industri penerbangan, pertahanan dan aeroangkasa antara Turki dan Malaysia.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Eksekutif dan Presiden TAI, Profesor Temel Kotil.

“Kami merancang untuk memperluaskan pengalaman dalam kesemua bidang ini dengan Malaysia melalui projek bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TAI.

Beliau mengulas pembukaan pejabat kejuruteraan dan reka bentuk pertama syarikat TAI di Cyberview Futurise, semalam.

Menurut Temel, pembukaan pejabat yang pertama di Asia Tenggara ini akan memberikan faedah kepada Turki dan Malaysia.

“Pejabat ini akan menjadi tempat yang penting bagi Malaysia dan Turki untuk mengkaji serta membangunkan projek bersama dalam bidang penerbangan, pertahanan dan aeroangkasa,

“Ianya akan memperkukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, pihak TAI akan meneruskan pelaburan dan kerjasama dengan Malaysia dalam membentuk teknologi baharu terutamanya dalam industri pertahanan dan penerbangan.

“Melalui kerjasama ini, jurutera dan Turki akan bekerja di satu pejabat yang sama bagi melaksanakan kajian bersama dalam pelbagai bidang termasuk pesawat tanpa pemandu, jet latihan, helikopter serta program modenisasi,” kata kenyataan itu.

Semalam, pejabat kejuruteraan dan reka bentuk TAI telah dibuka secara rasmi.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Duta Turki ke Malaysia, Dr. Merve Kavakcı. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!