MANILA, 24 Nov – Tentera Udara Filipina akan menerima helikopter tempur baharu buatan Turki pada Disember ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Tentera Udara Filipina, Leftenan Jeneral Allen Paredes.
“Helikopter tempur T-129 akan tiba pada Disember ini,” kata Allen dalam akaun sosial media rasminya.
Namun begitu, beliau tidak menyatakan sebarang perincian bilangan dan tarikh sebenar ketibaan helikopter tersebut ke Filipina.
Filipina telah melakukan perolehan sebanyak 6 buah helikopter tempur T129 ATAK buatan Turki. Kontrak pembelian bernilai US$ 269 juta telah dimeterai antara Turkish Aerospace Industries dan Jabatan Pertahanan Filipina pada Julai tahun lalu.
Pada minggu lalu, PAF telah mula menerima satu daripada 2 buah helikopter tempur AH-1S yang diterima dari Jordan.
Selain daripada AH-1S, Filipina turut mengoperasikan MG-520 dan AW-109E sebagai platform helikopter tempur ringan mereka.
T129 ATAK merupakan helikopter tempur buatan Turkish Aerospace Industries yang dibina berasaskan Agusta A129 Mangusta.
Helikopter ini direka untuk beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca dan waktu. – airtimes.my