Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM15 ribu

TLDM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM15 ribu

by Air Times News Network

JOHOR, 21 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok di perairan Johor Selatan, awal pagi semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, Fast Combat Boat (FCB) 1124 telah mengesan kewujudan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan yang mencurigakan di sekitar perairan Tanjung Setapa.

“Maklumat pencerobohan seterusnya disalurkan kepada RHIB CERDIK dan RHIB LEPAU yang berada dilapangan bagi memberikan bantuan sokongan dan pemintasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak TLDM, bot penyeludup terus memecut laju dan berpatah balik melarikan diri keluar dari perairan negara namun berjaya dipintas.

“Beberapa buah bungkusan telah dicampak keluar dari bot penyeludup ke dalam laut dan telah menyita bungkusan tersebut untuk pemeriksaan,

“Hasil siasatan lanjut mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi sebanyak 2,190 kotak rokok berjenama Gudang Garam dengan anggaran bernilai RM15,330,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, TLDM turut menahan seramai 3 lelaki warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua barangan yang diperiksa seterusnya telah diserahkan kepada Tim Op Merpati dari Rejimen ke 7 Artileri Diraja (RAD) untuk tindakan seterusnya,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!