Home Semasa PM ketuai delegasi Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-CHINA – Wisma Putra

PM ketuai delegasi Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-CHINA – Wisma Putra

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 21 Nov – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob akan memimpin delegasi Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-CHINA sempena memperingati Ulang Tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-CHINA yang akan diadakan pada 22 November ini melalui persidangan alam maya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, dalam sidang kemuncak berkenaan, Perdana Menteri akan diiringi oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar, Datuk Seri Mohamed Amin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), serta pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, MITI dan MOTAC.

“Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China akan memberi tumpuan ke arah kajian semula dan masa depan ASEAN-China dalam kerjasama, termasuk peningkatan hubungan kepada strategik dan perkongsian yang komprehensif,” ujarnya.

Tambahnya lagi, China merupakan salah satu rakan kongsi dalam ASEAN yang paling dinamik, melalui kerjasama dalam pelbagai sektor melalui ketiga-tiga tonggak ASEAN.

Menurut Wisma Putra lagi, penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak kali ini adalah bagi menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperdalamkan lagi perhubungan ASEAN-CHINA.

“Malaysia berharap sidang kemuncak itu akan memberikan laluan terhadap pemimpin untuk bersetuju tentang hasil yang menguntungkan ke arah keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!