[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=DWvGlbVyy10[/embedyt]
MELAKA, 20 Nov – Calon Parti Bebas menuntut agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula arahan yang mengarahkan ejen di pusat mengundi keluar dari pusat tersebut dan hanya dibenarkan bertugas selama 2 jam.
Mejar (Bersara) Jaini Dimon mendakwa ejen partinya diarahkan keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dari saluran mengundi di Sekolah Tanjung Minyak, pagi tadi.
Beliau berkata, insiden itu berlaku sekitar jam 10 pagi apabila ejen pusat mengundinya diarah keluar dengan alasan sudah bertugas melebihi tempoh 2 jam.
“Semasa membuat tinjauan di tempat pengundian pagi tadi, didapati wakil-wakil calon parti Bebas telah tidak ada di tempat bertugasnya,
“Setelah melihat di 2 atau 3 tempat saluran dan bertanya kepada KTM dimaklumkan memang telah mengarahkan kepada petugas yang bertugas sebagai agen politik keluar dari pusat mengundi disebabkan mendapat arahan dr SPR,
“KTM mengatakan setiap petugas hanya dibenarkan untuk bertugas selama 2 jam dari jam 8 pagi ke 10 pagi. Selepas itu petugas dikehendaki keluar sama ada mempunyai penganti atau tidak dan tidak dibenarkan masuk semula,” jelasnya ketika ditemui, hari ini.
Jaini yang juga Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput berkata, arahan KTM itu bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), sekali gus menggesa pihak berkuasa menyiasat kemungkinan salah guna kuasa dan penipuan berlaku ketika ketiadaan ejen parti Bebas dalam saluran mengundi itu.
“Adakah ini satu sabotaj kepada calon-calon Bebas atau calon baharu seperti saya yang baru bertanding dan mengambil peluang untuk memanipulasi pengundi sekaligus keputusan yang akan diumumkan malam ini,
“Saya sangat tidak berpuas hati dengan jawapan balas wakil SPR yang mengatakan arahan tersebut tidak pernah dimaklumkan tetapi dengan jelas KTM mengatakan ia adalah arahan dari SPR semasa taklimt KTM di tempat mengundi dilaksanakan,” tambahnya.
Menurutnya, laporan terhadap arahan ini akan dibuat sekiranya pihak SPR tidak dapat memberikan jawapan yang sepatutnya mengikut undang-undang.
Pada masa yang sama, Jaini menggesa dan mengharapkan supaya perkara sebegini tidak belaku dalam proses yang sepatutnya dilakukan berlandaskan mengikut sistem demokrasi dan adil kepada semua orang. -airtimes.my