Home Semasa PRN Melaka: 1,109 saluran, 217 pusat mengundi dibuka esok

PRN Melaka: 1,109 saluran, 217 pusat mengundi dibuka esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka bagi membolehkan 467,037 orang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 12,290 orang petugas juga akan bertugas bagi proses pengundian tersebut.

Ikmalrudin turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini dan selepas tempoh berakhir, sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi hendaklah dihentikan.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau juga menasihatkan agar semua pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang,

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” tambahnya.

Menurutnya, majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi dan mana-mana majikan yang tidak membenarkannya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tersebut memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Selain itu, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melakukan saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal pada hari pengundian.

“Bagi pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan,

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut manakala, individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” tegasnya.

Dalam kenyataan yang sama, SPR juga menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi supaya tidak memakai baju; topi; pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama; simbol; gambar parti atau calon yang bertanding.

“Mereka juga tidak dibenarkan membawa bahan berkempen serta sebarang tagline atau slogan kempen ke pusat mengundi,

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ikmalrudin berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!