KUALA LUMPUR, 19 Nov – Seramai 52 penghuni yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah berjaya berpindah masuk ke Blok 2 Program Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera – Tentera Darat (RKMAT-TD) di Taman Lembaga Tabung Angkatan tentera (LTAT) Bukit Jalil, hari ini.
Kementerian Pertahanan menerusi hantaran di media sosialnya berkata, 52 buah keluarga tersebut adalah sesi rancangan perpindahan anggota secara berkelompok sebagai penghuni RKMAT-TD yang dilaksanakan secara berperingkat bermula 18 November hingga 10 Disember depan.
“Program RKMAT-TD di Taman LTAT, Bukit Jalil yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pada 3 November 2021 telah mula menjalani proses pemindahan masuk anggota dan keluarga,
“Rancangan perpindahan anggota secara berkelompok sebagai penghuni RKMAT-TD telah mula dilaksanakan secara berperingkat bermula 18 November 2021 hingga 10 Disember 2021,
“Pada hari pertama rancangan perpindahan ini telah menyaksikan seramai 52 penghuni telah berjaya dipindah masuk ke Blok 2 RKMAT-TD,” jelas Kementerian Pertahanan.
2,000 unit kediaman ini adalah inisiatif perumahan yang dirancang oleh Kementerian Pertahanan melalui kerjasama dengan LTAT.
“Ia merangkumi 4 blok pangsapuri 38 tingkat dengan keluasan binaan 850 kaki persegi untuk setiap satu unit kediaman bagi memenuhi keperluan anggota TDM di Lembah Klang,
“Unit kediaman ini turut dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, gimnasium, surau dan unit kedai yang selesa dan kondusif untuk didiami,” tambahnya. – airtimes.my