SUBANG, 17 Nov – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menjelaskan,
kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk menggantung pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), susulan nahas yang berlaku di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.
Beliau berkata, keputusan mengenainya akan dilakukan setelah mendapat maklumat berkaitan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan.
Menurutnya, laporan awal berhubung insiden yang berlaku di Pangkalan Udara Butterworth, semalam, tidak menjurus kepada isu teknikal tetapi lebih kepada faktor operasi dan latihan.
“TUDM kini sedang melaksanakan siasatan terperinci mengenai kejadian yang baru berlaku malam tadi,
“Satu jawatankuasa juga sudah ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini dan ia sedang dijalankan,
“Kami rasa sedih dengan kejadian ini dan saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah Kapten Mohamad Affendi Bustamy,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 15,000 kotak makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Tentera Udara Subang, hari ini.
“TUDM juga sedang menguruskan jenazah Mohamad Affendi yang mana saya difahamkan arwah akan dikebumikan di kampungnya halamannya,
“Manakala, seorang lagi juruterbang pula dalam keadaan kritikal namun stabil,” tambahnya.
Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.-airtimes.my