MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah menahan 4 nelayan warga Indonesia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot nelayan itu dikesan melakukan aktiviti menarik pukat dan menangkap ikan pada jam 2 petang di kedudukan kira-kira 9 batu nautika dari daratan Tanjung Resang, semalam.
“Selepas ditahan dan diperiksa, bot nelayan tersebut didapati melakukan kesalahan menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari daratan,
“Pemeriksaan juga mendapati bot nelayan tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan dan 4 kru warga Indonesia berusia antara 34 hingga 68 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua pekerja asing tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia.
Malah, 2 daripadanya tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Nurul Hizam menjelaskan, bot nelayan dan semua kru ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.-airtimes.my