[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=zBC_mtkw850[/embedyt]
PAYA RUMPUT, 9 Nov – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mejar Jaini Dimon (Bersara) berkata, beliau akan membawa perubahan untuk kemakmuran jika terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.
Beliau yang bertanding dengan menggunakan logo Buku berharap semua pengundi di N13 Paya Rumput untuk mengundinya pada 20 November ini.
“Saya Mejar Haji Mohd Jaini Dimon wakil calon Bebas bagi PRN Melaka dengan logo Buku, mengharapkan kepada pengundi-pengundi di DUN Paya Rumput supaya mengundi saya,
“Insyallah, saya akan membawa perubahan pentadbiran DUN Paya Rumput, dimana saya sebagai pemimpin kepada masyarakat setempat akan membawa perubahan untuk kemakmuran penduduk-penduduk Paya Rumput,
“Saya juga berjanji untuk menjadi seorang pemimpin yang berintegriti, amanah dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon di Dewan Ballroom Stadium Hang Jebat, semalam.
PRN Melaka di DUN Paya Rumput bakal menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Bebas.
Mereka adalah, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH); Datuk Rais Yasin (Barisan Nasional); Muhammad Faris Izwan Mazlan (Perikan Nasional); Mohamad Hashidi Mohd Zin (PUTRA) dan Mejar Mohd Jaini Dimon (Bersara) dari Bebas.
Menurut Mohd Jaini, penglibatannya dalam politik adalah disebabkan semangat veteran tentera yang semakin meningkat untuk menyuarakan pendapat ataupun suara veteran sekaligus membawa ke peringkat pentadbiran negara.
“Disini (PRN Melaka) adalah satu permulaan, walaupun kami bertanding di peringat DUN ini adalah satu langkah pertama bagi veteran daripada Kemakmuran memasuki arena politik bagi memperjuangkan keperluan-keperluan ataupun hak-hak veteran selama ini yang telah diabaikan,
“Kami memulakan langkah ini adalah satu perjuangan yang tepat dan akan bergerak terus keatas serta mengharapkan selepas ini boleh bergerak ke Parlimen,” ujarnya.
Mengenai kempen PRN Melaka yang tidak boleh diadakan secara bersemuka dan ceramah, beliau berkata, penetapan sebegini merupakan peluang yang sangat baik kepada calon Bebas kerana dapat berkempen secara sama rata.
“Ini adalah satu peluang yang sangat baik kepada calon-calon Bebas atau baharu, dimana dengan adanya prosedur opersi standard (SOP) yang agak ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditetapkan, memudahkan kami calon Bebas yang tidak mempunyai cukup dana yang besar, ia memberi ruang berkempen secara sama rata dan seimbang,
“Kami lebih memfokuskan bahan kempen kepada media massa dan juga bahan cetakan, seperti sedia maklum kempen secara berkumpulan ataupun bersemuka tidak dibenarkan sama sekali,
“Jadi ini adalah satu ruang yang seimbang kepada kami untuk sama-sama memperlihatkan perjuangan masing-masing untuk mencapaikan kemenangan pada PRN Melaka ini,” jelasnya.
Katanya, beliau sangat yakin bahawa veteran tentera yang berada di Paya Rumput akan menyokong dan mengundinya pada PRN Melaka nanti.
“Saya berkeyakinan, para-para veteran yang ada sekarang ini di DUN Paya Rumput agak ramai, dimana bekas-bekas tentera apabila sudah bersara kebanyakannya menetap di Melaka ataupun dikawasan DUN Paya Rumput ini,
“Secara prinsip mereka (veteran) akan menyokong calon veteran pada kali ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Mohd Jaini berkata, jika terpilih menjadi ADUN, beliau akan menyelesaikan isu-isu tempatan seperti banjir kilat dan juga lesen sementara peniaga kecil.
“Untuk makluman, selama ini penghuni di DUN Paya Rumput telah diabaikan oleh ADUN yang lepas, banyak isu-isu tempatan, keperluan rakyat tidak diambil dengan serius penyelesaiannya,
“Isu yang paling penting adalah selalu kita dengar adalah masalah banjir kilat, di DUN Paya Rumput selalu berlaku banjir, kebanyakan penduduk akan sentiasa terkena bencana banjir ini yang menyebabkan kerugian harta benda mereka,
“Begitu juga dengan penjaja kecil di DUN Paya Rumput menghadapi masalah dalam memiliki lesen perniagaan walaupun sementara dari Majlis Perbandaran,” tegasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai bantuan kepada veteran di Paya Rumput jika dipilih menjadi ADUN, Mohd Jaini berkata akan mewujudkan Pusat Komuniti Veteran yang akan mendengar keperluan rintihan dari veteran dan balu.
“Banyak balu yang terbiar sebenarnya, apabila hendak buat aduan dia tidak tahu, ke mana hendak mengadu,
“Saya akan cuba wujudkan satu Pusat Komuniti Veteran bagi membantu memudahkan urusan dan juga bantuan kebajikan veteran-veteran yang memerlukan nanti,” ujarnya lagi. – airtimes.my