KUALA LUMPUR, 9 Nov – Malaysia dan Singapura bersetuju melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 29 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, melalui VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura serta tidak perlu jalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian COVID-19.
Perkara itu di persetujui dan di keluarkan selepas beliau membuat perbincangan melalui panggilan telefon bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, TYT Lee Hsien Loong pada Isnin.
“Kami menyedari kekangan pergerakan yang dihadapi, mengganggu perhubungan sosial antara rakyat kedua-dua negara,
“Kami juga bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membenarkan semula perjalanan rentas sempadan memandangkan kemajuan ketara telah dicapai oleh Malaysia dan Singapura dalam pemberian vaksin dan pengurusan pandemik COVID-19 secara amnya,” jelasnya.
Kedua-dua Perdana Menteri juga berharap untuk memulihkan laluan perjalanan merentasi darat dalam masa terdekat.
“Ini termasuk pembukaan semula perjalanan merentasi Tambak Johor dan Link Kedua, dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura,”jelasnya.
Tambahnya, VTL ini adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang telah lama terjalin.
Menurutnya, inisiatif ini juga dapat memulihkan ekonomi kedua-dua negara sambil mengimbangi keperluan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terpelihara daripada COVID-19. -airtimes.my