SANDAKAN, 05 Nov – Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran gagal selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Pamaguan, kelmarin.
Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Polis (DSP) Rusdin Banin berkata, pihaknya yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan tersebut telah mendapati bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati seorang juragan lelaki berumur 34 tahun berada di dalam bot berkenaan yang membawa barang kawalan iaitu beberapa jeriken minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM811.80,
“Nilai rampasan termasuk bot yang digunakan berjumlah RM14,511.80,” katanya dalam kenyataan di media sosial PPM Wilayah 4.
Menurutnya, jurangan itu gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – airtimes.my