Home Pertahanan dan Keselamatan Pemilik kedai komputer warga Bangladesh ditahan guna PLKS palsu

Pemilik kedai komputer warga Bangladesh ditahan guna PLKS palsu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seorang pemilik kedai komputer warganegara Bangladesh menggunakan Pas Lawatan Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur melalui sindiket ID Hack, pada Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Turut ditahan ialah isteri suspek yang juga warganegara Indonesia berusia 44 tahun.

Khairul Dzaimee berkata, operasi penguatkuasaan ini adalah merupakan siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan ini yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu dari sindiket ID Hack.

“Suspek merupakan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur dengan hanya menggunakan PLKS palsu,

“Suspek mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut selain turut menyewa sebuah kondominium mewah sebagai kediaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek turut menyamar sebagai warganegara Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.

“Suspek dikenali sebagai ‘Ali’ dalam kalangan warganegara Pakistan dan sebagai ‘Munsi Jewel’ oleh warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur,

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman yang dihuni oleh suspek dan isteri,” ujarnya.

Katanya, suspek dan isteri beliau disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta ditangkap dibawah Seksyen 51(3) Akta yang sama.

“Mereka akan ditahan di depoh tahanan Imigresen, Semenyih untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!