KUALA LUMPUR, 4 Okt – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu 2 buah premis yang menyajikan pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) warga asing di kawasan Kuchai Lama dan Puchong, pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 34 warga asing telah ditahan dalam serbuan Operasi Gegar (Op Gegar).
Beliau berkata, pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara atas talian terlebih dahulu melalui applikasi ‘Wechat’ dan ‘Telegram’.
“Operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing,
“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan kerana harga yang ditawarkan agak tinggi bermula dari RM190 hingga RM240 bagi satu langganan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Menurut Dzaimee, seramai 17 orang warga asing yang terdiri daripada 7 wanita Thailand, 4 wanita Indonesia dan 3 wanita masing-masing warganegara Myanmar, Laos dan Vietnam disyaki melakukan akitiviti pelacuran.
“Turut ditahan 3 orang lelaki Myanmar yang merupakan pekerja dan penjaga premis,” katanya.
Sementara itu, operasi kedua pula di sebuah pusat hiburan di Puchong, seramai 16 GRO warga Vietnam dan seorang pekerja lelaki warga India berjaya ditahan.
“Premis ini dikawal oleh tonto sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan tersebut bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan dari pihak berkuasa,
“Walau bagaimanapun, strategi tonto ini berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan,” ujarnya.
Kata Dzaimee, siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. – airtimes.my