Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 bot nelayan tempatan langgar syarat lesen tangkap ikan

APMM tahan 2 bot nelayan tempatan langgar syarat lesen tangkap ikan

by Air Times News Network

MIRI, 4 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Miri berjaya menahan 2 bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang 6 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, bot Kilat 41 yang sedang menjalankan rondaan Operasi Permai di sekitar perairan Miri telah mengesan dua bot nelayan tempatan dalam keadaan yang mencurigakan pada 6.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan oleh 2 tekong lelaki warga tempatan dan 6 kru lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 21 hingga 65 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Namun disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.

Md Fauzi berkata, kedua-dua bot nelayan itu bersama 8 kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis dianggarkan sebanyak 1.5 tan metrik diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai untuk membuat sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut dengan boleh hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply